MI SEGERA – ADAKAH SELAMAT DIMAKAN?


GEORGETOWN – Senang didapati, mudah disediakan pada bila-bila masa dan harga murah antara faktor mi segera menjadi pilihan khususnya pelajar apabila lapar di waktu malam ketika mengulang kaji pelajaran.
Bagaimanapun, masih ramai yang tidak menyedari makanan segera ini boleh memudaratkan kesihatan dan kajian mendapati ia boleh menyebabkan penggemarnya mendapat pelbagai penyakit kronik seperti serangan jantung, strok, kerosakan buah pinggang dan kanse Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S M Mohamed Idris berkata, kajian CAP ke atas 10 sampel mi segera mendapati tiga daripadanya mengandungi natrium melebihi 1,000 miligram sedangkan saranan untuk orang dewasa dan kanak-kanak berusia empat tahun adalah 2,400 miligram sehari.
“Pengambilan mi segera boleh menyebabkan pengambilan garam yang berlebihan kerana natrium sering ditambah dalam makanan harian kita dan mi segera adalah makanan yang menjalani pelbagai peringkat pemprosesan tanpa sebarang khasiat makanan.
“Mi segera adalah makanan remeh yang mengandungi karbohidrat, natrium dan pelbagai penambah perisa selain rendah khasiat seperti serat, vitamin dan galian. Perisa sup juga mengandungi ‘Monosodium Glutamate’ (MSG) yang berperanan menjadikan perisanya benar-benar tulen.
Sumber: Sinar Harian


Mengikut trend permintaan mi segera dunia bagi tahun 2007-2009 yang dikeluarkan oleh Persatuan Mi Segera Sedunia (WINA), Malaysia berada pada kedudukan ketiga belas, iaitu sebanyak 11.8 (2007), 12.1 (2008), 12.0 (2009) bagi setiap 100 juta paket. Menduduki tangga pertama adalah China, diikuti oleh Indonesia, Jepun, Vietnam dan Amerika Syarikat. 

Pada tahun 1958, Momofuku Ando (gambar) telah mencipta "CHICKEN RAMEN™" iaitu mi segera pertama dunia. Dengan terciptanya mi segera tersebut, sekali gus telah tercipta satu revolusi dalam budaya kulinari. Pada tahun 1971 pula, beliau telah berjaya mencipta "CUP NOODLE ®" iaitu produk mi segera jenis cawan yang pertama di dunia. Usaha dan kreativiti beliau telah berjaya melahirkan satu industri pembekalan mi segera tahunan sebanyak 91.6 bilion hidangan ke seluruh dunia.

Melihat kepada situasi ini, kita boleh membuat anggapan bahawa mi segera ini adalah makanan dunia, bukan sahaja bagi negara yang sedang membangun, malah ia juga menjadi makanan kegemaran di negara maju seperti Amerika Syarikat dan Jepun. 

Seperti yang kita sedia maklum, mi segera adalah makanan yang murah, mudah disediakan dan cukup popular dalam kalangan generasi muda. Sesetengah berpendapat bahawa mi segera adalah makanan yang tidak sihat dan tidak selamat untuk selalu dimakan, tetapi ada juga pihak yang mengatakan bahawa mi segera adalah selamat dimakan.

Kekeliruan yang berlarutan sejak sekian lama ini disebabkan oleh kandungan mi segera tersebut yang didapati tinggi dengan karbohidrat dan rendah fiber, vitamin dan mineral. Dikatakan juga bahawa mi segera mengandungi lemak tepu dan lemak trans yang tinggi. Mi segera turut didakwa tidak sihat kerana ia tinggi kalori dan bahan penambah perisa (MSG) yang digunakan di dalam perencah yang disertakan sekali di dalam bungkusannya.

MSG atau nama penuhnya Monosodium Glutamate  adalah penambah perisa yang kerap digunakan bukan sahaja di dalam mi segera, tetapi juga di dalam sup, sos, kuah, makanan di kedai-kedai makan dan makanan-makanan di dalam tin. MSG ini dikatakan boleh mendatangkan kesan-kesan kesihatan seperti ruam, serangan asma, sakit kepala dan sawan. Walau bagaimanapun, banyak kajian mendalam perlu dijalankan bagi membuktikan kesan-kesan kesihatan ini. 

Namun, bagi menyangkal segala dakwaan ini, hasil analisis makmal Kementerian Kesihatan mendapati mi segera selamat untuk dimakan oleh orang ramai. Berita Harian bertarikh 26 Mei 2010 memetik bahawa analisis yang dilakukan oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) mengenai kandungan garam di dalam sebungkus mi segera itu mendapati kandungan bahan berkenaan tidak melebihi tahap yang disyorkan pihak kementerian. 

Pengarah BKKM, Noraini Mohd Othman berkata, secara purata, kandungan garam dalam satu paket mi segera di negara ini adalah antara dua gram hingga tiga gram. Kementeiran kesihatan turut merujuk kepada Panduan Diet Malaysia yang mengesyorkan pengambilan lima gram sehari bagi orang dewasa dan 4.75 gram sehari bagi kanak-kanak selaras saranan Institut Perubatan. 

Kementerian turut menjalankan analisis makmal ke atas 73 jenis bekas makanan, termasuk bekas mi dalam cawan yang diperbuat daripada plastik jenis polipropilena serta polistirena dan ujian mendapati semua sampel yang digunakan membuat cawan mematuhi piawaian yang ditetapkan

Noraini juga menjelaskan tahap piawai garam dalam mi segera tidak termaktub dalam Peraturan-Peraturan Makanan 1985 kerana penggunaan garam oleh pihak industri bagi produk mereka adalah bergantung kepada formulasi produk dan tahap penerimaan pengguna. 

Menurut pakar pemakanan, Gaiyal Subramaniam berkata, mi segera sememangnya sesuai diambil sebagai alas perut bagi mereka yang tidak sempat mengambil hidangan sempurna. Tetapi seelok-eloknya ubah cara penyediaan hidangan mi segera tersebut supaya ia lebih berkhasiat dan mengenyangkan.

Safra Aina Adnan
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)
21 Jun 2010

Sumber : Konsumer Kini Dot Net


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...