Solat Gerhana Matahari Dan Bulan!


Bertuah rasanya kerana dibenarkan untuk berkongsikan post ini..
Rasanya anda semua tahu yang gerhana bulan dijangkakan akan berlaku pada malam ini..
Semoga bermanfaat!

Hukum mengerjakan solat gerhana matahari (al-kusuf) dan gerhana bulan (al-khusuf) ialah sunat mu`akkad.  Ia lebih utama dikerjakan secara berjama`ah dan diseru “as-solatu jami`ah” ketika ingin mengerjakannya.

Solat gerhana matahari telah disyariatkan pada tahun ke-2 hijrah. Manakala solat gerhana bulan pula disyariatkan pada tahun ke-5 hijrah.

Cara Mendirikan Solat Gerhana
Solat sunat gerhana matahari dan bulan dikerjakan dengan 2 rakaat.  Dan setiap rakaat mempunyai 2 kali rukuk.  Orang yang melakukannya hendaklah berniat samada mengerjakan solat sunat gerhana matahari atau solat sunat gerhana bulan.

Bagi solat gerhana matahari, bacaan al-Fatihah dan ayat al-Quran dibaca secara sirr (perlahan).  Manakala bagi solat sunat gerhana bulan, bacaan al-Fatihah dan ayat al-Quran dibaca secara jahar (kuat).

Mengenai cara melakukan solat gerhana, Imam al-Bukhari (947) dan Imam Muslim (901) meriwayatkan dari `A’isyah radhiAllahu `anha katanya:

“Pada saat hidupnya Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam, telah terjadi gerhana matahari.  Baginda sallAllahu `alaihi wasallam keluar ke masjid.  Kemudian Baginda berdiri dan bertakbir dengan diikuti oleh orang ramai di belakangnya.  Baginda membaca bacaan yang panjang.  Kemudian bertakbir lalu rukuk dengan rukuk yang lama.  Kemudian Baginda mengangkat kepalanya sambil berkata:  ”Sami`Allahu liman hamidah.  Rabbana lakalhamdu”, kemudian berdiri semula serta membaca bacaan yang panjang tetapi kurang sedikit daripada bacaan ketika berdiri yang pertama.

Kemudian Baginda bertakbir dan rukuk dengan rukuk yang lebih pendek daripada rukuk pertama, kemudian Baginda berkata:  ”Sami`Allahu liman hamidah.  Rabbana lakalhamdu” dan terus sujud (menurut riwayat yang lain Baginda telah memanjangkan sujudnya).  Kemudian Baginda lakukan pada rakaat kedua seumpama yang dilakukan pada rakaat pertama sehingga sempurna empat rukuk (iaitu empat kali rukuk dan empat kali sujud).  Dan matahari mula muncul sebelum Baginda selesai solat.  Kemudian Baginda bangun berkhutbah kepada orang ramai dengan dimulakan pujian yang selayaknya bagi ALLAH Ta`ala dan bersabda:  ”Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua tanda daripada tanda-tanda kebesaran ALLAH Ta`ala.  Kedua-duanya tidak gerhana disebabkan oleh kematian seseorang dan tidak kerana hidupnya seseorang.  Oleh itu apabila kamu melihat kedua-duanya berlaku, maka segeralah mengerjakan solat”

Pada zaman dahulu, gerhana matahari atau bulan selalu dikaitkan dengan lahirnya atau matinya seseorang yang penting.  Dan kebetulan pula, pada saat berlakunya gerhana matahari dalam hadith di atas, anak Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam yang bernama Ibrahim meninggal dunia.  Maka sebab itulah Baginda mengingatkan bahawa gerhana tiada kena-mengena dengan hidup atau matinya seseorang bagi membatalkan kepercayaan yang lama dipegang oleh orang-orang terdahulu.

Bagi memudahkan kefahaman, berikut disenaraikan cara mengerjakan solat sunat gerhana dalam bentuk point dan urutan:

Berdiri kali pertama (rakaat pertama)

1.  Berdiri lalu takbiratul ihram, membaca surah al-Fatihah, membaca surah yang panjang (contohnya surah al-Baqarah), rukuk yang panjang, bangun dari rukuk lalu mengucapkan “sami`Allahu liman hamidah.  Rabbana lakal-hamdu”

Berdiri kali kedua (rakaat pertama)

2.  Berdiri membaca surah al-Fatihah, membaca surah yang panjang, tetapi lebih pendek dari yang dibaca pada berdiri yang pertama, rukuk, bangun dari rukuk lalu mengucapkan ”sami`Allahu liman hamidah.  Rabbana lakal-hamdu”, i`tidal kemudian turun untuk sujud, duduk antara dua sujud, kemudian sujud, lalu bangun untuk ke rakaat kedua.

Berdiri kali ketiga (rakaat kedua)

3.  Berdiri membaca surah al-Fatihah, membaca surah, rukuk, bangun dari rukuk lalu mengucapkan “sami`Allahu liman hamidah.  Rabbana lakal-hamdu”

Berdiri kali keempat (rakaat kedua)

4.  Berdiri membaca surah al-Fatihah, membaca surah, rukuk, bangun dari rukuk lalu mengucapkan ”sami`Allahu liman hamidah.  Rabbana lakal-hamdu”, i`tidal kemudian turun untuk sujud, duduk antara dua sujud, sujud, duduk tasyahud akhir dengan dibaca tasyahud akhir, kemudian beri salam.

Khutbah
Selepas solat dikerjakan, maka Imam bangun berkhutbah dengan 2 khutbah.  Rukun-rukun dan syarat-syaratnya sama dengan 2 khutbah Jumaat.  Isi khutbah hendaklah mendorong agar orang ramai bertaubat dan melakukan kebaikan serta memberi ingatan agar tidak lalai dan terpedaya.

Amalan lain
Disunatkan memperbanyakkan bertakbir, berdo`a, bersedeqah dan mengucapkan istighfar memohon keampunan dari ALLAH.  Hal ini berdasarkan hadith dari `A’isyah radhiAllahu `anha:

“Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua tanda daripada tanda-tanda kebesaran ALLAH Ta`ala.  Kedua-duanya tidak gerhana disebabkan oleh kematian seseorang dan tidak kerana hidupnya seseorang.  Oleh itu apabila kamu melihat kedua-duanya berlaku, berdo`alah kepada ALLAH, bertakbirlah, bersedeqahlah serta solatlah”

Dari Abu Musa, katanya:

“Pada suatu ketika terjadi gerhana matahari, maka Nabi sallAllahu `alaihi wasallam berdiri untuk solat dan lalu bersabda:  ”Jikalau kamu melihat gerhana, segeralah berdzikir kepada ALLAH, berdo`a serta memohon keampunanNYA”
Tulisan di atas adalah merujuk kepada kitab Fiqhul Manhaji dan Fiqh as-Sunnah.  Jika ada kesilapan dan kekurangan, saya memohon maaf dan mohon juga diberikan teguran.  Semoga catitan ini ada manfaat buat diri saya dan kalian yang sudi membacanya.
ALLAHU A`LAM.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...